Cinta

"CINTA yang dibina bukan cinta kosong tapi cinta yang punya pengertian
cinta yang luhur dan hanya dapat dirasakan dengan JIWA yang bersih
yang SENTIASA MENCARI..... ALLAH"

Tuesday 23 July 2019

Resepi Rendang Daging (Tips Daging Cepat Empuk!)

Assalamualaikum!

Kali ni, nak share resepi mula-mula jadi isteri dan nak hari raya dah masa tahun 2016. Untuk Rendang Daing ni biasa lah dia agak leceh tapi bila dah buat tu sap sap sup siap dah.

Ok, tak nak tulis panjang, takut uols tak baca. haha

Bahan-bahan utama:
1/2 kg daging
1 1/2 cawan cili kisar (suami kurang suka pedas, Anna letak 3 sudu besar je)
1/2 kg paket kerisik (1 paket = 40 gram)
1 kotak kecil santan
2 helai daun kunyit (dihiris halus)
garam secukup rasa
air asam jawa secukup rasa
gula secukup rasa

Bahan A (kisar)
6 biji bawang merah
6 ulas bawang putih
2 inci halia

Bahan B (kisar)
2 inci lengkuas
3 batang serai
1 sb ketumbar
1/2 sb jintan manis
1/2 sb jintan putih

Cara-cara:
1. Kisar Bahan A, tapis dan airnya digunakan untuk kisar Bahan B. Kalau kisar Bahan B tak cukup air, boleh tambah sikit air.
2. Tumiskan Bahan A tadi bila dah naik bau, boleh masukkan cili kisar dan masak sampai pecah minyak.
3. Masukkan pula Bahan B dan tumis hingga wangi. Pastikan minyak banyak untuk ditumis, jika kurang minyak boleh tambah. Minyak kurang akan menyebabkan bahan-bahan kurang masak dan tidak bagus untuk kesihatan.
4. Masukkan daging dan gaul rata. Bila daging dah keluar air boleh masukkan santan, daun kunyit dan sedikit garam. Masak daging hingga empuk. Jika belum empuk boleh tambah air dan reneh lagi.
5. Masukkan kerisik, air asam jawa dan gula. Tunggu didih lagi.
6. Siap hidang!

Bagi yang suka rebus daging dahulu sebelum masak sekali, tips untuk cepat empuk ialah letakkan 2 sudu kecil garam dan 2 batang serai rebus hingga 15-20 minit. Tips lain orang kata nak empuk boleh rebus sekali dengan sudu besi.

Selamat mencuba!

Jazakumullah.

xoxo,
Anna




Thursday 18 July 2019

3 Minuman Yang Mengurangkan Kolestrol Dalam Badan

Assalamualaikum semua,

Hari ni Anna nak bercakap pasal topik kolestrol pula. Anna nak berkongsi mengenai orang yang tak minat nak kurangkan kolestrol tapi tak minat makan oat, biji ketumbar dll.

3 minuman yang mengurangkan kolestrol adalah:



1. Air Barli

Cara: Basuh beras barli. Rebus barli sampai lembut dan minum. Untuk menambah perisa, boleh minum bersama hirisan lemon atau hirisan daun panda. Insya-Allah berkesan untuk mengurangkan masalah kolestrol.



2. Air Cuka Epal

Cara: Campurkan satu sudu besar cuka epal dalam segelas air masak. Kalau nak sedap gunakan air sejuk. Minum dua hingga tiga kali sehari.

 


3. Air Indian Gooseberry, Amla atau Buah Pokok Melaka

Cara: Amla boleh didapati dalam bentuk serbuk dipasaran. Masukkan satu sudu besar dalam segelas air suam dan minum setiap pagi masa perut kosong.

Setakat ini, Anna sentiasa biasa dengan air barli lemon suam. Untuk menurunkan berat badan lebih efektif, anda perlu turunkan kolestrol terlebih dahulu supaya kurus cara sihat! Air barli lemon suam Anna selalu order ikat tepi ni kalau pagi-pagi dekat office.



Selamat mencuba!

Jazakumullah.

xoxo,
Anna

Wednesday 17 July 2019

Resepi Ayam Goreng Berempah Simple

Assalamualaikum..

Okay, rasa dah bertahun tak masukkan resepi-resepi baru untuk blog ni. So, I'm BACK! Haha

Sebenarnya resepi ni, Anna nak buat untuk potluck office, tapi apa kan daya.. Antara cinta & wang, salah satu harus ada korbannya.

Okay, jom tengok resepi ni.


Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam
1-2 sudu besar serbuk kari
1 sudu besar serbuk cili (kalau nak pedas, Anna tak letak sebab suami kurang suka pedas)
Garam secukup rasa
2 helai limau purut - diracik halus
3 batang daun kari
Minyak untuk mengoreng

Bahan kisar halus:
2 sudu besar biji ketumbar
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih

Bahan kisar kasar:
2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
2 inci halia
2 inci lengkuas
2 inci kunyit hidup (Anna guna serbuk kunyit je)
2 inci serai

Cara Penyediaan:
1. Basuh ayam dan potong kecil. Toskan.
2. Masukkan ayam dan semua bahan kisar ke dalam mangkuk besar. Gaul rata.
3. Perap 1 - 2 jam atau paling bagus semalaman dalam peti sejuk.
4. Goreng dalam minyak penuh (ayam tenggelam).
5. Balik balikkan supaya masak rata.
6. Bila ayam dah garing, angkat bersama rempah-rempah sekali.
7. Siap hidang! Makan dengan nasi kukus!

Selamat mencuba.

Oh ya, Anna kan tak mahir masak, reti masak tapi tak sehebat chef. Nanti Anna tulis lagi resepi puding dan sambal tempoyak yang Anna suka buat.

Jazakumullah!

xoxo,
Anna

Tuesday 16 July 2019

Perkara Mesti Dielakkan Ketika Bergaduh Suami Isteri



Assalamualaikum,

Tipulah dalam perkahwinan tidak ada pasangan yang tidak pernah bergaduh. Pepatah melayu berkata "sedangkan lidah lagi tergigit". Rata-rata masyarat berfikir, dalam hal perkahwinan sesuatu komunikasi tidak penting. Hakikatnya, sebuah komunikasi itu sangat berharga dan lebih indah daripada yang kita sangkakan.

Kalau masa bercinta, kita rancang nak bernikah dan berkahwin, segalanya kita rancang dan berkomunikasi dengan baik. Justeru itu, sama juga dengan dalam perkahwinan. Jika kita memendam rasa terlalu lama, orang lain akan menjadi mangsa atau lebih teruk lagi berlaku angkat tangan dari suami ataupun isteri.

Memang tiada siapa meminta perkara buruk berlaku, siapa sangka dalam sekelip mata sahaja semua boleh berubah. Harapan yang tinggi menggunung kita terlalu berharap pada manusia.

7 tips yang boleh kita mesti elakkan sepanjang tempoh perkahwinan:

1. Jangan Menyebut dan Melibatkan Keluarga

Kita hanya bergaduh dengannya dan bukan dengan ibu bapanya.

Maka jangan sesekali menyebut sesuatu yang boleh menghina ibu bapanya. Ucapan seperti. “Menyesal aku terima pinangan mak ayah hang dulu..” atau “Mak dengan anak serupa sahaja perangainya..” adalah antara ucapan yang sangat ditegah.

Ucapan-ucapan seperti itu adalah suatu penghinaan terhadap pasangan kita dan ibu bapanya.

Melibatkan ibu bapa dalam pergaduhan akan menyebabkan pasangan yang dihina ibu bapanya itu akan menjadi bertambah berang dan perkara yang lebih buruk mungkin terjadi.

2. Jangan Bergaduh Dengan Anak-Anak

Kalau pun kita tengah bergaduh, janganlah bertengkar dihadapan anak-anak.

Bimbang ia akan menjadi contoh yang tidak baik kepada mereka.

Ada suami yang mencengkam rambut isteri dihadapan anak-anak. Kemudian kepala isteri digoncang-goncang dan didera dengan pelbagai tindakan lagi.

Jangan lakukan ini dihadapan anak-anak. Tapi tidak bermakna kita boleh lakukan secara sembunyi-sembunyi pula.

Tindakan ini akan dilihat oleh anak-anak sehingga boleh membentuk persepsi dalam minda mereka bahawa semua lelaki itu jahat. Atau bila perempuan buat salah maka lelaki boleh berkasar dengannya.

Bahkan, ia juga boleh mengganggu emosi anak-anak sehingga menyebabkan mereka fobia untuk berumahtangga kelak.

3. Jangan Sesekali Mengungkit Setiap Pemberian Yang Kita Berikan

Tidak kira suami atau isteri, di era kini, masing-masing pasti ada memberi pemberian berharga kepada pasangan.

Pasangan suami isteri yang diikat dengan ikatan pernikahan yang sah dan suci ini biasanya sudah bersatu hati untuk saling bekerjasama dan bantu-membantu dalam mengukuhkan rumah tangga yang dibina.

Antaranya dengan menunjukkan kasih sayang dan memberikan barangan bersifat material kepada pasangan.

Ada masanya kita belanja pasangan kita sepasang baju, memberi bunga atau apa-apa sahaja yang menggembirakan hatinya.

Jadi jangan ungkit terhadap apa yang kita pernah berikan kepada pasangan.

Jangan sesekali katakan padanya, “saya belikan abang baju yang mahal dulu, itu pun tak reti nak jaga..” atau “Tak kenang budi....”

Perbuatan itu hanya akan mengguris perasaannya dan menunjukkan ketidakikhlasan kita ketika memberikannya dahulu.

Perbuatan mengungkit juga hanya akan merugikan pahala kita.

4. Jangan Tinggikan Suara Sehingga Jiran atau Orang Dengar

Ketika bergaduh, jangan sesekali meninggikan suara dengan tujuan menengkingnya sehingga ramai yang boleh mendengar.

Perbuatan itu hanya akan memalukan dan menjatuhkan maruahnya dihadapan semua orang. Lebih-lebih lagi ditempat awam.

Jagalah maruah pasangan kita. Maruah dia, maruah kita juga. Ia ibarat membuka pekung dan kelemahan kita dalam hidup berumah tangga.

Pasangan yang ditengking itu pasti akan terasa dengan kita. Bahkan akan menjatuhkan dirinya daripada kita.

5. Jangan Mengangkat Tangan Atau Memegang Sebarang Objek

Jangan sesekali kita mengangkat tangan untuk tujuan memukul isteri kita.

Begitu juga dilarang menggunakan apa-apa objek untuk memukul, ia akan menambah keretakan rumahtangga, malah boleh menjadi kes dera tanpa kita sedar.

Jika seorang suami suka mendera isteri, itu bermaksud dia bukanlah pasangan yang baik. Bahkan dia bukanlah pasangan yang kuat, kerana orang yang kuat adalah orang yang mampu manahan sabar.

Sebagai ketua keluarga, kita kena pandai mengawal keadaan, bukannya menyumbang kepada hubungan yang makin teruk.

6. Jangan Sebut Kekurangan Pasangan

Janganlah kita menghina isteri atau suami untuk apa tujuan sekalipun ketika bergaduh.

Lebih-lebih lagi yang dihina itu adalah bahagiaan anggota tubuh badannya. Ini perkara sensitif buat pasangan.

Sewaktu kita bersetuju bernikah dengannya, bermaksud kita juga setuju untuk menerima kekurangan yang ada pada dirinya.

Walaupun kekurangan itu wujud selepas perkahwinan, kita harus menerima isteri seadaanya.

Sentiasa ingatkan diri untuk mengawal lidah sewaktu bergaduh.

Bak kata orang tua-tua, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

7. Jangan Bergaduh Dalam Tempoh Yang Lama

Jangan memanjang-manjangkan pergaduhan.

Jangan lama-lama bertengkar, cukuplah hanya untuk sementara waktu.

Sudah habis bergaduh, berdamailah. Kadang-kadang kita perlu buat tidak tahu sahaja yang kita baru bergaduh.

Pujuklah pasangan kita dengan kata-kata yang menyejukkan jiwa.

Memanjangkan pergaduhan tidak dapat mengubah keadaan. Sebaliknya dengan bertenang dan berdamai itu lebih baik untuk membaiki hubungan atau masalah yang menimpa pasangan.

Maka, jangan kita sengaja merosakkan rumah tangga yang dibina dengan perbuatan yang melampau ketika  bergaduh.

Jangan juga kita hanya bergaduh semata-mata untuk mahukan perhatian daripada pasangan.

Penutup: Wujudkan rumahtangga yang harmoni

Walaupun perkara ini adalah asam garam kehidupan rumah tangga, hendaklah kita mengawal emosi dan amarah kita.

Jika kita mahukan anak yang sihat akhlak dan rohaninya, maka perkara ini sebenarnya bermula daripada kita sendiri, ibu bapa.

Kerana anak-anak belajar dari pemerhatian kelakuan ibu bapa mereka.

Semua ini untuk renungkan kita bersama. Semoga perbaiki diri sendiri dan dapat menghindar perkara yang dilarang Allah.

Wallahualam.